Banjir Tahun 2024 Dungun, Terengganu

Assalamualaikum

Banjir Tahun 2024 Dungun, Terengganu | Dah lama tak update blog. Nak bercerita tetapi terlalu banyak urusan dan ujian yang datang silih berganti. Tapi tak sedap pulak ayat bila aku cakap ujian yang datang. Sepatutnya teguran manja dariNya, kan?

29 November 2024, Jumaat.

Kali pertama sepanjang aku menyewa disini, banjir seteruk itu. Dan makluman yang aku perolehi, banjir kali nie lagi besar berbanding banjir seminggu sebelum tsunami pada tahun 2004. Perasaan aku? Tak dapat digambarkan.

Banyak yang rugi. Terlalu banyak untuk diungkapkan. Aku tak pandai meluah secara lisan kecuali dalam keadaan aku berada dititik terendah atau aku patah hati.

Kronologi banjir tu, bermula pagi jumaat. Pagi tu sekadar hujan biasa dan air dalam longkang penuh macam biasa jika banjir kilat berlaku. Selepas waktu solat jumaat, hujan tak berhenti turun menyentuh lantai bumi.

Selepas asar, air mula naik sedikit tapi tanggapan aku, banjir kilat je nie. Aku sempat berjalan-jalan pusing kampung tengok kawasan banjir. Mendekati waktu maghrib, aku makin naik tapi tanggapan aku tetap sama. Banjir kilat yang penuhi longkang dan jalan depan rumah sahaja.

Selepas maghrib, aku ajak husband aku pergi ke Soho Festival. Niatnya nak cari makanan dan nak alihkan kereta parking ke tempat lain. Aku pergi ke Soho Festival tu, dalam tempoh 45 minit je termasuk perjalanan pergi dan balik.

Masa nak balik tu, jalan banyak dah dinaikki air sebab hujan lebat tak pernah berhenti membasahi lantai bumi. Terpaksa patah balik cari jalan lain. Bila dah masuk kawasan perumahan, rupa-rupanya air dah banyak menghalangi laluan.

Aku ajak husband aku hantar ke rumah parents aku. Sebab rumah parents aku perumahan sebelah je. Jarak masa dalam 3 minit sahaja. Bila hantar kereta, aku pinjam motor ayah untuk pulang ke rumah untuk ambil motor aku. Redah air dan parking je atas jalan. Aku tunggu atas motor dan husband aku redah air.

Tak lama kemudian, husband aku bagitahu air dah masuk kawasan garaj. Aku sedapkan hati cakap tak apa, sebab setahu aku, kebiasaan air naik sampai bahagian garaj tu, tak masuk dalam rumah. Bila dah patah balik rumah ayah untuk hantar motor ayah, aku redah sekali lagi air banjir untuk balik ke rumah.

Parking motor jauh sebab nak jalan kaki redah air. Takut risikokan motosikal kalau aku berkeras redah air. Air atas jalan depan rumah aku dah paras peha masa tu. Sedangkan sebelum keluar tu, air paras betis sahaja. Bila buka je pintu rumah, terus aku menangis. Air dalam rumah paras betis ya.

Habis semua tenggelam dalam air. Aku dan suami terus angkat barang-barang penting letak tinggi. Laptop tenggelam air terus. Tak fikirkan apa pun, cabut plug yang bersambung, kemas baju, terus keluar pergi rumah parents.

Hantar beg baju semua rumah parents, redah air balik rumah sendiri. Sambung angkat-angkat barang. Letak batu bata bawah peti ais, mesin basuh dan double check semua. Lepas tu, terus ke Pusat Pindahan Sementara (PPS) untuk pendaftaran sebagai mangsa banjir. Dah selesai semua, terus balik berehat.

30 November 2024, Sabtu.

Esok tu, aku dan suami pergi kerja macam biasa. Sempat singgah rumah, memang air makin naik. Berdebar sampai taktahu nak cakap macam mana. Ditambah pulak dengan hujan selebat-lebatnya. Air depan rumah parents makin naik walaupun rumah parents aku nie berada di kawasan yang tinggi ya.

01 Disember, Ahad.

Kemuncak banjir. Dalam masa kurang dari sejam, air naik penuhi kawasan perumahan. Truck JPAM keluar masuk lalu kawasan depan rumah untuk ambil mangsa-mangsa banjir yang tersekat dalam rumah tanpa jalan keluar.

Husband aku redah air jalan kaki balik ke rumah kami untuk selamatkan barang-barang. Nak angkat lagi tinggi katanya. Bayangkan air dah cecah paras pinggang ke dada. Aku tak senang duduk fikirkan dia seorang diri.


Paling sedih bila dia hantar gambar-gambar barangan dalam rumah. Peti ais, mesin basuh, dapur, meja makan, sofa, katil dan semua tenggelam air. Aku menangis bila tengok gambar tu. Nak redha tapi beratnya hanya Allah swt je yang tahu.


Selepas empat hari, air baru surut. Banyak harta benda yang rosak. Perabot runtuh menyembah bumi. Bersabar je laa mampu. Nak mengeluh, aku tahu ujian dariNya. Takkan dapat kembali seperti dulu. Bau kepam sebab baju, bantal, tilam dan fabrik lain yang terendam air.

Sampai saat ini, rumah aku belum siap sepenuhnya bersih. Baru cuci dan kosongkan rumah sahaja. Penangan bila bekerja. Nak cuti, cuti dah habis. Cuti tanpa gaji? Banyak duit yang perlu digunakan sekarang.

Rindu rumah.

Post a Comment

0 Comments